Rahsia/cara menggandakan wang menggunakan kaedah Compounding Interest

Berikut adalah rahsia/cara menggandakan wang menggunakan kaedah Compounding Interest
Kita sering kali didedahkan dengan pelbagai kisah kejayaan pakar-pakar pelaburan yang hebat. Dalam kalangan pakar-pakar pelaburan ini, ada yang sanggup menjadi pakar motivasi dan ada yang telah membukukan rahsia kejayaan mereka semata-mata ingin melihat munculnya pelabur yang berjaya. Ramai juga yang kurang pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pelaburan lalu menganggapnya berisiko tinggi dan perlu dielakkan. Namun apabila bercerita perihal manusia dan pelaburan, kita tahu terdapat pelbagai ragam dan kerenah manusia. Ada yang bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki taraf hidup namun tidak pernah menabung untuk masa-masa kecemasan. Terdapat juga mereka yang bekerja dan membuat simpanan, namun tidak bijak untuk memanfaatkan simpanannya. Dan ada juga yang bekerja dan membuat simpanan, serta bijak melabur wang yang disimpannya. Mereka yang berada dalam kategori ini dilihat sebagai mereka yang lebih beruntung dan berkemungkinan dapat hidup bebas daripada belenggu kewangan pada usia yang masih muda.
Benjamin Franklin
Pernah diceritakan bahawa sebelum Benjamin Franklin meninggal dunia pada tahun 1790, beliau telah meninggalkan sejumlah wang bernilai US$10,000 untuk dibahagikan sama rata antara bandar Boston dan Philadelphia. Satu dana jangka masa panjang (200 tahun) telah diwujudkan di setiap bandar. Penduduk miskin dibenarkan untuk membuat pinjaman duit daripada dana tersebut. Sebanyak 5% kadar faedah akan dikenakan ke atas jumlah wang yang dipinjam. Selepas 100 tahun, Boston dan Philadelphia telah berjaya menghasilkan wang sejumlah US$500,000 daripada dana tersebut. Ternyata konsep Compounding Interest yang diperkenalkan oleh Benjamin Franklin ini telah memperkenalkan istilah ‘Compounding Interest’ dan membantu orang ramai untuk memahami dengan lebih mendalam kepentingan Compounding Interest dalam kehidupan.
Compounding Interest membawa maksud proses melipatgandakan wang melalui faedah yang ditawarkan ke atas pelaburan yang dibuat. Bagi sesetengah orang, ia juga dikenali sebagai ‘faedah ke atas faedah’. Pada dasarnya ia sama seperti faedah biasa, namun bagi pelabur jangka masa panjang, Compounding Interest dilihat sebagai satu kaedah yang berkesan untuk menambah pendapatan. Untuk mendapat keberkesanan mutlak dalam pelaburan yang dibuat, adalah sangat penting sekiranya ia dibuat untuk jangka masa panjang dan dilakukan secara berterusan. Ahli fizik yang berpengaruh, Albert Einstein juga pernah mengibaratkan Compounding Interest sebagai “keajaiban kelapan di dunia!”. Mungkinkah dia benar?
Bukan semua orang mahu mendapat kebebasan kewangan hanya pada usia persaraan. Ada yang ingin mengalami gaya hidup seorang jutawan pada usia yang masih muda. Ramai anak muda yang memberanikan diri untuk melakukan pelaburan agar mendapat pendapatan yang mencukupi untuk membayar perbelanjaan sara hidup, seterusnya menjadi mewah. Sebenarnya adalah tidak mustahil untuk menjadi kaya melalui pelaburan Compounding Interest. Sudah tentu, ia banyak bergantung kepada berapa banyak wang yang anda ada, berapa banyak faedah yang boleh anda peroleh, sama ada anda berdisiplin untuk menyimpan pada setiap bulan – dan sudah tentu, berapa lama anda boleh menunggu sebelum membuat pengeluaran.
Formula Pengiraan Compounding Interest
Compounding Interest dikira ke atas pinjaman pokok dan faedah yang terkumpul. Pengiraan faedah boleh dibuat secara tahunan, bulanan atau harian berdasarkan formula yang berikut:
M = P ( 1 + i )n
M = Jumlah keseluruhan termasuk jumlah simpanan asal dan faedah yang diterima
P = Jumlah simpanan asal
i = Kadar faedah bagi setiap tahun
n = Bilangan tahun pelaburan

Contoh pengiraan: Katakan anda mempunyai RM 10,000 untuk dilaburkan dalam jangka masa 3 tahun. Faedah yang diberikan oleh institusi kewangan atau institusi pelaburan adalah pada kadar Compounding Interest 5%. Dengan menggunakan formula tadi, M = 10,000 (1 + 0.05)3 = RM 11,576.25. Maka wang pokok pelaburan anda sebanyak RM10,000 tadi telah pun bernilai RM11,576.25 pada akhir tahun ke-3. Ini dengan syarat anda tidak mengeluarkan sebarang wang, termasuk faedah yang anda peroleh keluar daripada akaun anda tadi.
Di internet sendiri, terdapat banyak laman web yang mengajar cara pengiraan Compounding Interest dan ada juga yang menyediakan kalkulator dalam talian untuk memudahkan proses mengira keuntungan pelaburan. Dengan melakukan carian mudah di internet, anda berupaya mencetak helaian lejar yang menerangkan dengan terperinci jumlah wang yang bakal diperoleh bagi setiap tahun pelaburan yang dibuat. Terlalu mudah, tidak perlu pergi ke bank atau berjumpa dengan pegawai bank untuk keterangan lanjut!
Bagaimanakah Compounding Interest boleh membuat seseorang menjadi lebih kaya?
Sesiapa sahaja boleh mendapat manfaat daripada Compounding Interest. Bukan setakat mereka yang kaya, atau hanya terhad kepada cerdik pandai lulusan ekonomi atau yang mendapat MBA daripada Oxford. Hampir setiap jenis pelaburan menawarkan Compounding Interest, dan terbuka kepada sesiapa juga untuk membuat pelaburan. Anda juga tidak perlu berbuat apa-apa selepas wang anda dilaburkan. Ia dengan sendirinya akan mendatangkan hasil untuk anda. Dua puluh empat jam sehari dan 7 hari seminggu, ia akan menjadi hamba anda. Anda boleh bercuti ke mana-mana dan pada masa yang sama, anda tahu yang wang anda akan terus ‘bekerja’ untuk anda.
Kehebatannya Compounding Interest benar-benar terbukti seiring dengan berlalunya masa. Ramai yang cerdik dalam bidang pelaburan telah membuat simpanan sejak awal lagi. Semakin lama anda boleh mendapat keuntungan daripada Compounding Interest, dan semakin tinggi untung faedah yang terkumpul dalam pelaburan asal anda. Contohnya, A, B dan C masing-masing mempunyai wang simpanan sebanyak RM10,000 dan ingin melabur dengan sebuah institusi pelaburan Z. Z bersetuju untuk memberikan kadar faedah yang sama kepada ketiga-tiga mereka, iaitu sebanyak 5%. Pada ketika pelaburan usia masing-masing adalah berbeza. A berusia 30 tahun, B pula 40 tahun dan C pada ketika itu berusia 50 tahun. Apabila ketiga-tiga mereka mencapai umur persaraan iaitu 55 tahun, A bakal mendapat lebih keuntungan daripada pelaburan yang dibuat jika berbanding dengan C. Jika ingin lebih tepat, berpandukan formula yang diberikan di atas, A bakal mendapat RM 33,863.55, B pula sebanyak RM 20,789.28 dan C hanya RM 12,762.82. Perbezaan wang yang diterima semata-mata kerana tempoh masa pelaburan yang berbeza antara mereka.
Pelabur yang bijak juga akan sentiasa menambah pelaburan mereka secara tetap. Mereka berdisiplin dalam menabung, memberi keutamaan untuk menyimpan dan cuba untuk memaksimumkan simpanan mereka. Contohnya jika si A tadi membuat simpanan tetap sebanyak RM 100 sebulan atau RM 1,200 setahun maka jumlah keuntungan daripada pelaburan yang dibuat akan meningkat berkali-kali ganda. Apabila mencapai umur persaraan, A akan mendapat RM 92,675.64 berbanding RM 33,863.55 jika hanya membuat pelaburan sekali sahaja.
Compounding Interest akan berfungsi dengan lebih baik sekiranya anda tidak menyentuh wang pelaburan anda, dan membenarkan pelaburan tadi berkembang dari semasa ke semasa. Ya, bersabar sambil melihat wang tadi semakin bertambah! Adalah agak kurang cerdik sekiranya seseorang itu mengeluarkan pengagihan yang diterima semata-mata untuk menukar kereta baru atau membeli barangan mewah. Melabur melalui pinjaman yang dibuat dengan bank juga bukanlah satu langkah wang bijak kerana jika berbuat demikian, pelaburan tadi dianggap sudah lari daripada konsep yang sepatutnya dan sedaya upaya perlu dielak.
Melalui Compounding Interest, pengorbanan bertukar menjadi manfaat. Dengan menyimpan beberapa puluh ringgit sebulan dan pada masa yang sama mengatakan ‘tidak’ pada pembelian yang dianggap membazir, akan memberikan keuntungan yang besar kepada tuannya pada jangka masa panjang.
Kebiasaannya jika kita membuat pelaburan melalui institusi kewangan ataupun perbankan, maka kita akan mendapat laporan kredit pada setiap bulan. Melalui laporan kredit ini, anda berpeluang untukmemperbetulkan kesilapan dengan mengurangkan atau menambah pelaburan bulanan anda mengikut trend ekonomi pada masa itu.
Sama ada kita sedari atau tidak, institusi kewangan juga menggunakan konsep Compounding Interest dalam pinjaman yang dibuat bersama mereka. Compounding Interest akan menyebabkan caj faedah yang lebih banyak jika ada kelewatan dalam pembayaran balik pinjaman bank atau hutang kad kredit. Ini juga adalah antara sebab anda tidak digalakkan untuk berterusan membayar bayaran minimum kerana ini akan membuatkan anda dalam keadaan berhutang untuk selama-lamanya.
Contohnya, jika anda mempunyai kad kredit dengan kadar faedah bulanan 15% dan membuat pembelian berjumlah RM 1,000, maka anda akan berhutang RM 1,150 selepas faedah bulan pertama. Jika anda tidak menjelaskan hutang anda pada bulan itu, maka hutang itu tadi akan meningkat kepada RM 1,322.50 untuk bulan seterusnya. Peningkatan sebanyak RM 322,50 dalam tempoh dua bulan, dan menjadi lebih dramatik dan akan membuatkan anda lebih sengsara seiring dengan masa yang berlalu!
Begitu juga sekiranya anda membeli sebuah peralatan elektrik berharga RM 1,000 dan tidak meletakkan sebarang wang pendahuluan, maka anda akan meminjam RM 1,000 daripada institusi jualan itu tadi. Katakan lah kadar faedah yang dikenakan kepada anda untuk pembelian itu tadi adalah sebanyak 13%. Untuk bayaran ansuran bulan pertama, anda perlu membayar sebanyak RM 50, namun hanya RM 39.20 akan dibayar kepada hutang prinsipal manakala RM 10.80 pula dikenakan untuk membayar faedah terakru pada bulan pertama. Jika anda terus membayar hanya RM 50 sebulan untuk peralatan elektrik itu, maka anda akan memerlukan sekurang-kurangnya 2 tahun untuk membayar kos sepenuhnya dan kos tambahan sebanyak RM 141 khusus untuk pembayaran faedah.
Kesimpulannya, jika anda masih kurang faham tentang pelaburan Compounding Interest, maka anda boleh mendapat keterangan lanjut daripada ejen pelaburan anda. Sekiranya anda ragu-ragu dengan pelaburan yang dibuat, maka pilihlah pelaburan yang menepati hukum syariah. Jangan berlengah, dan melabur lah dengan segera. Jika anda seorang yang tidak berani mengambil risiko, maka laburkan sebahagian daripada wang simpanan anda. Sekiranya masih takut untuk melabur menggunakan wang simpanan yang ada, maka anda boleh juga menggunakan wang KWSP. Namun harus diingatkan bahawa wang KWSP tidak boleh dikeluarkan terus, dan segala keuntungan dan modal pokok akan dimasukkan semula ke dalam akaun KWSP usai tamat tempoh pelaburan. Ramai yang telah mendapat untung ratusan ribu hasil daripada keberanian mereka melabur, anda mungkin akan menjadi salah seorang daripadanya sekiranya anda juga berani seperti mereka!

Perkhidmatan Pinjaman Bank dan Koperasi


Iklan.

Kami adalah agent perkhidmatan pinjaman bank dan koperasi di bandaraya Kuching Sarawak.
Kepada sesiapa yang ingin membuat pinjaman bank atau koperasi sila hubungi kami segera.
Blacklist pun boleh mohon. Interest antara yang terendah.
Pinjaman bank atau koperasi
INFO LANJUT KLIK DISINI